Sunday, March 01, 2009

manusia bukan izrail

Hari itu sekali lagi aku berpeleseran tanpa hala tuju di tempat biasaku, kaki lima sekitar ibu negara. Namun kali ini berlainan sedikit. Aku berseorangan. Tidak lagi dikelilingi rakan-rakan hitam gelapku yang berduyun-duyun bagai tebuan terlepas dari sarangnya. Cuaca terik tengahari itu tidak sedikit pun melenguhkan sendi yang sudah hampir setengah hari berjalan. Tekak terkadang terasa kering, namun tiada satu pun tong air jualan dipesisir jalan itu mengundang rasa di ruap jantung hati ini.

Bunyi riuh diseberang jalan menangkap gegendang telingaku. Anak mataku lantas terlihat akan kelompok manusia yang seakan menonton persembahan percuma di tepi jalan. Kakiku langsung tergerak ke arah itu. Tertarik hati barangkali. Semakin aku mendekati kumpulan itu, pelbagai bau menusuk hidungku. Bauan yang tidak dapat ditapis lantas menusuk ke laluan otakku dan impuls pun mentafsir. Bau hanyir pekat yang sedikit hamis seakan sedang garing dipanggang. Lalu aku jengah dicelahan bau-bau hapak dan haring keringat. Maka terlihat akan aku cecair merah pekat mengalir di celahan kerikil jalan seakan menggelegak direbus bahang mentari.

Aku tinggikan lagi diri yang kerdil ini. Maka terlihatlah kedua mataku, sekilas sekujur tubuh terlantar dibasahi cecair yang sama seperti yang mengalir tadi. Lalu aku pun melihat kiri dan kanan. Gerangan kenderaan apakah yang mentabraknya sehingga lunyai begini? Atau bangunan tinggi manakah yang makhluk ini terjuni? Tiada kenderaan yang mentabrak, tiada juga bangunan pencakar yang berdekatan. Hanya sekujur tubuh dikelilingi manusia yang berbisik sahaja disitu.

“Beri laluan, beri laluan. Orang ramai dikehendaki ketepi,” suara bak halilintar membelah bumi yang tiba-tiba hinggap di gegendangku itu rupanya datang dari cerobong peti suara disebelahku.
Seorang anggota berkuasa lengkap berpakaian seragam menyuruhku dan ahli-ahli kerumunan yang lain ketepi. Dia polis barangkali. Mungkin juga orang hospital. Aku malas mahu mengendahkannya lalu aku ketepi dengan rela. Melihat sahaja dari mencampuri. Namun anak mataku sempat melirik ke arah tubuh yang kaku di atas jalan itu. Ruang makin terbuka apabila kelompok manusia mula beredar lalu membuka ruang mataku untuk melihat sekujur tubuh itu dengan lebih jelas. Muda lagi. Sekuntum bunga pula. Sekali kemudian dua. Masuk ketiga, aku berpaling lagi.

Baju itu, seluar hitam itu, jam tangan itu. Jantungku tiba-tiba tersentap bagai dipulas hulunya. Lututku seakan dihentak pohon balak yang utuh. Jemariku tergenggam dengan sendirinya. Hati menafikan, tetapi akal menegakkan. Langkahku lebih perlahan dari tadi. Mahu sahaja aku berlalu, tetapi hatiku meronta minta dipastikan. Maka aku mendekati lagi. Lebih dekat dari tadi. Aku rempuh hapak keringat, aku susur himpunan manusia. Hingga aku terpacul di depan sekali seakan mahu terus mendekati.
Tidak! Hatiku menafikan lagi.
Ya! Akal meronta meminta logik.
Tubuhku seakan disedut ke dalam pusat bumi. Lantas bayangan hitam putih seakan imbas kembali di televisyen muncul di layar paparan mindaku.

Kurang sepuluh minit tadi, sewaktu kakiku megah melangkah, gegendangku ada menangkap bunyi siulan gatal sang arjuna memancing si dara. Hatiku tersenyum. Situasi biasa di perut kota jika yang mahu mencari yang dimahukan. Menjual minyak minta ditimbang cinta dan dikasih.
Lalu aku pun tiada selera mahu menoleh, turutkan sahaja kemahuan kaki. Bentar sedikit, kedengaran si dara menolak pancingan si arjuna. Agak kasar. Tidak selesa mungkin. Keadaan makin hangat dengan siulan penonton tidak bertauliah. Namun aku biarkan sahaja. Sempat aku mengerling di balik dinding. Nampak hanya sipi susuk si dara. Cantik. Lalu aku tinggalkan dan melangkah lagi.

Tidak! Sipi tubuh si dara tadi itu mirip tubuh yang terlantar ini. Aku mendekati lagi. Halus ikal rambut itu seperti yang biasa ku belai. Susuk tubuh itu seperti yang biasa ku lihat. Halus jemari yang medakap kerikil jalan itu seakan biasa ku genggam.
Tidak mungkin dia.
Jangan dia!
Tetapi, bila aku sorotkan mataku ke pangkal tubuh itu, melihat gelangan di hujung kaki itu, kakiku seakan hilang paksi gravitinya. Lemah aku. Terjelupukku disisi tubuh yang terlantar itu. Tidak! Sepasang tangan menarikku. Memintaku bangun dan pelbagai pertanyaan seakan berdas-das peluru menembusi gegendang telingaku. Aku kumpulkan bunyian itu menjadi satu.

“Budak tu”, satu yang kudengar.

“Tadi elok je kene pancing”, dua yang kutangkap.

“Dia tolak kasar sangat, kalau tak selamat” tiga dan lagi.

“Kau taulah mat gian, pisau celah kaki,” empat dan cukup!!!
***
syaz '09
* tulisan ini adalah hasil semalaman malam tadi merayau di jaringan internet, membaca hampir ratusan artikel dan fail-fail kes tragedi/pembunuhan/kes di Malaysia sekitar 80-an hingga kini. apa kuasa sesama manusia untuk meragut nyawa?

No comments: